Sejarah penubuhan UiTM_Cawangan_Perak

Tanggal 1 Januari 1985 bermulanya sejarah penubuhan Universiti Teknologi MARA Cawangan Perak setelah dirasmikan oleh Y.A.B. Tan Sri Dato’ Seri Ramli Ngah Talib, Menteri Besar Perak pada 1 Januari 1985. Kampus Cawangan ini merupakan kampus yang ke 8 dari 13 buah kampus ITM di seluruh negara termasuk kampus induk di Shah Alam.

Penubuhan kampus ini telah dijalankan dengan kerjasama sepenuhnya dari Kerajaan Negeri Perak. Sehubungan itu, Kerajaan Negeri Perak melalui Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) telah menyewakan beberapa buah rumah kedai serta rumah teres kepada ITM Cawangan Perak sebagai kampus sementara di Bandar Baru Seri Manjung yang terletak lebih kurang 86km ke barat Bandaraya Ipoh.

Di awal penubuhannya kampus sementara ini terdiri daripada 6 unit bangunan rumah kedai dua tingkat dan ditambah dari semasa ke semasa hingga menjadi 15 unit sebagai pejabat pentadbiran, bilik-bilik kuliah, asrama siswi, perpustakaan, surau, dewan makan dan stor. Di samping itu sebanyak 31 unit rumah teres setingkat telah disewa sebagai asrama bagi penempatan siswa. Pengambilan pertama seramai 200 orang pelajar itu pada Januari 1985 yang mengikuti kursus-kursus Diploma Perakaunan (DIA), Diploma Pentadbiran Awam (DPA), Diploma Pengajian Perniagaan (DBS), Diploma Perbankan (DIB) dan Diploma Sains Kesetiausahaan (DSS). Manakala, kakitangan perintis pula seramai 21 orang kakitangan akademik dan 45 orang kakitangan pentadbiran.


Dalam usaha untuk mempertingkatkan kemudahan dan bersesuaian dengan sebuah pusat pengajian tinggi, Kerajaan Negeri Perak telah memperuntukkan kawasan seluas 285.5 ekar di Bandar Baru Seri Iskandar sebagai tapak kampus tetap ITM Cawangan Perak. Kerja-kerja awal fasa 1 Kampus Seri Iskandar yang terdiri dari Bangunan Fakulti Senibina Perancangan dan Ukur (FSPU) dan bangunan asrama telah dirasmikan oleh Y.A.B. Menteri Besar Perak pada 3 April 1995. Pada 21 Julai 1998 majlis perasmian Kampus Seri Iskandar telah disempurnakan oleh Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah Ibni Sultan Azlan Muhibbuddin Shah mewakili Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan.


Selain Kampus Seri Iskandar, Kampus Bandaraya Ipoh yang terletak di Station 18, Jalan Pengkalan, Ipoh telah mula beroperasi pada bulan Jun 2002 yang menumpukan kepada pengajian luar kampus. Perkembangan ini diikuti dengan beroperasinya Kampus Tapah telah pada Oktober 2010 yang memfokuskan kepada bidang ICT. Kini, secara keseluruhannya Universiti Teknologi MARA Cawangan Perak mempunyai kekuatan seramai lebih 12,000 pelajar, 673 kakitangan akademik dan 453 kakitangan pentadbiran serta didukung oleh lima fakulti, dua daripadanya di Kampus Seri Iskandar dan tiga lagi di Kampus Tapah.